Majlis Pembukaan Bengkel Penulisan Kreatif telah dilangsungkan pagi tadi di Perpustakaan Kampong Pandan di Daerah Belait. Majlis tersebut diadakan sempena “Memperkasa Budaya Membaca”, satu projek yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memupuk membaca di kalangan masyarakat kini. Hadir sebagai tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei Darussalam, Puan Hajah Aminah binti Haji Momin. Seramai 27 peserta menyertai bengkel ini.

Kedatangan tetamu kehormat disambut oleh ahli-ahli perpustakaan

Ucapan khas tetamu kehormat

Para hadirin yang menghadiri majlis

Bersama para rakan media

Sebelum majlis bermula, Surah Al-Fatihah dibacakan yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Ali Hanafiah bin Ramlee, Ahli Jawatankuasa Majlis. Majlis diteruskan dengan upacara pembukaan rasmi “Bengkel Penulisan Kreatif 2010″ oleh tetamu kehormat yang turut disertai dengan ucapan khas serta taklimat ringkas.

“Untuk menjadi seorang penulis tidaklah sesusah mana. Jika dulu, ada kertas, ada pen atau pensel dan idea maka akan adalah sesuatu yang dicoret dalam kertas,” jelas tetamu kehormat semasa beliau berucap pagi tadi.

Tetamu kehormat juga mengingatkan para peserta supaya mematuhi aturan-aturan penulisan, bukan sekadar meluahkan apa sahaja yang terpendam dalam lubuk hati dan minda lalu dilontar dalam kertas. Dengan itu, para peserta akan menjadi penulis-penulis yang berwibawa dan sentiasa memberi pemahaman kepada masyarakat tentang sesuatu perkara.

Majlis bersurai pada jam 10.30 pagi, dengan jamuan ringan yang disediakan oleh Perpustakaan Kampong Pandan, Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Temu ramah oleh krew RTB

Puan Hajah Aminah turut menandatangani buku tetamu

Tetamu kehormat bersama dengan para pustakawan